Kenapa Allah SWT menurunkan bala ke atas hamba-Nya? Adakah bala yang ditimpakan itu membuktikan kemarahan Allah ke atas diri kita yang terpaksa menanggung risiko akibat perbuatan orang lain?
Apabila dilihat telatah, gelagat dan perwatakan umat Islam hari ini memperlihatkan benar-benar mereka mengundang bala daripada Allah SWT.
Kita amat berharap agar bala yang ditimpakan tidak berulang lagi dari semasa kesemasa. Hakikatnya ramai manusia yang tidak langsung mengambil I’tibar dari peristiwa bala tersebut. Sebahagian manusia masih meneruskan aktiviti keseronokan dunia mereka tanpa memikirkan persoalan hidup dan mati, dosa dan pahala, syurga mahupun neraka. Mungkin mereka ini hanya akan sedar apabila di soal oleh para malaikat di alam kubur tentang amalan silam yang mereka lakukan semasa masih hidup di dunia.
Bermacam-macam persoalan timbul mengenai bala yang merisaukan banyak pihak. Apakah sebenarnya bala itu? “Bala” yang diambil daripada perkataan Arab iaitu 'bala' bermakna hukuman daripada Allah akibat salah laku manusia kerana mengingkari sepenuhnya atau sebahagian daripada perintah Allah SWT.
Bala ini pernah terjadi di zaman para Anbiya' sebelum Nabi Muhammad S.A.W, seperti yang diceritakan oleh Allah dalam al-Quran menerusi ayat 133 surah Al-'Araf yang bermaksud:
"Telah Kami kirimkan ke atas mereka (umat Nabi Musa) ribut taufan, belalang, kutu, katak dan darah, sebagai tanda yang cukup jelas keingkaran mereka terhadap ajaran Nabi Ibrahim, mereka menyombong diri dan sesungguhnya mereka adalah golongan penjenayah (yang melakukan kerosakan di muka bumi)".
Begitu juga Allah menceritakan mengenai kaum Nabi Luth yang melakukan perbuatan terkutuk yang disifatkan oleh Nabi Luth sendiri sebagai perbuatan yang tidak pernah berlaku di dunia sebelum itu, maka Allah musnahkan mereka tanpa memberi peluang untuk mereka bertaubat ke jalan kebenaran, sila rujuk ayat 81 surah al-'Araf~.
Sesungguhnya bala tidak akan diturunkan oleh Allah ke atas manusia, melainkan kerana didahului dengan kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Bezanya umat nabi-nabi terdahulu dikirimkan bala tanpa memberitahu isyarat kehadirannya, namun bagi umat Nabi Muhammad S.A.W, isyarat atau tanda-tanda kehadiran bala itu dapat dikesan oleh mereka yang kuat berpegang kepada agama dengan pelbagai kaedah, pendekatan dan bentuk tertentu. Begitu juga bentuk bala yang Allah turunkan, tidaklah seteruk dan sehebat kaum-kaum terdahulu. Kisah Kaum Ad yang ditimpakan angin puting beliung yang dasyat, kisah banjir besar sehingga menenggelamkan gunung ganang di zaman Nabi Nuh , kisah Kaum Thamud yang ditimpakan Allah halilintar dan gempa bumi yang amat luar biasa, serta pengajaran kepada kisah Kaum Luth yang diterbalikkan negeri mereka sudah pasti menginsafkan hamba-hamba Allah yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.
Kehidupan seperti Kaum Nabi Luth juga wujud pada zaman sekarang
Jelas di sini bahawa kesalahan umat terdahulu hingga ditimpakan pelbagai bentuk bala daripada Allah, kerana melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran nabi-nabi mereka, tetapi kita perlu ingat, bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh mengirim bala kepada kita serupa dengan apa yang pernah berlaku pada zaman lampau dan juga mampu mengirim bala yang tidak pernah ketika itu.
Ini dapat kita lihat pada hari ini seperti penyakit HIV, selesema burung yang menggerunkan banyak pihak, penyakit kaki, tangan dan mulut dan macam-macam lagi, ia dikirimkan agar manusia kembali ke pangkal jalan.
Sepatutnya sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W. kita berjaya meloloskan diri daripada bala-bala yang disebutkan di atas, tetapi kenapa berlaku juga? Ia merupakan satu persoalan yang patut segera mencari jawapannya Ini tidak lain kalau tidak kita melakukan perkara yang menyanggah tuntutan agama, terdapat selain kita yang sanggup menggadai maruah agama.
Renung2kan lah...Waallahualam...